“Macam mana ye ustaz? Susah apabila kita minat satu bidang tetapi mak ayah desak kita ambil bidang yang lain,” keluh seorang peserta KEM HIJRI baru-baru ini.
“Memang susah. Hidup atas bayangan dan impian orang lain memang susah. Sifirnya mudah, terpaksa adalah terseksa, betul tak?” saya memetik kembali ungkapan slot NIAT di awal program.
“Saya belajar di kelas Sains. Emak dan ayah tidak habis-habis mendesak saya agar selepas SPM tahun depan ni, saya belajar bidang perubatan untuk jadi doktor” kata beliau.
“Awak tak suka jadi doktor?” saya bertanya.
Beliau menggelengkan kepala.
“Awak nak jadi apa?” saya menyoal lagi. Seperti ayat cikgu saya 25 tahun yang lalu.
“Ahli perniagaan. Saya minat bisnes!” kata pelajar tersebut.


Salah satu petanda yang kita sudah mula berhasil membina jambatan hati bersama peserta ialah apabila waktu senggang antara slot terisi dengan kehadiran mereka untuk berbincang dengan kita. Seorang demi seorang datang, mahu meluahkan masalah yang terbuku di hati. Saya sentiasa memuji-muji Allah apabila ada peserta yang datang untuk berkongsi kerana itu petanda yang baik bahawa sudah ada rasa percaya di hati peserta kepada kita.
Bukan mudah.
Jurulatih atau penceramah sering dilihat sebagai orang upahan ibu bapa atau majikan jika dalam kes pekerja. Penceramah diupah agar membasuh mereka supaya insaf dan boleh terus diarah dan dimanipulasi sekembalinya daripada kursus. Berat sungguh persepsi itu!
Maka perjuangan langkah satu setiap jurulatih atau penceramah adalah untuk meruntuhkan persepsi itu dan menggantikannya dengan rasa percaya mereka bahawa kita tidak berada di posisi correcting people, sebaliknya lebih mengusahakan connecting people.
“Pernah berbincang tentang hal ini dengan emak dan ayah?” saya bertanya.
“Susah. Baru nak cakap dah kena potong” kata beliau.
Wajahnya sugul.
Sayang sekali. Seorang anak yang bijak dan sebaik beliau, perlu sugul dengan tekanan yang hakikatnya tidak susah untuk diselesaikan jika ibu bapa membuka lebih ruang untuk pandangan anak didengari sebelum mengharapkan pandangan mereka didengar si anak.
“Pertamanya, ustaz sangat percaya dengan perbincangan. Sama ada di peringkat antara negara, kerajaan memerintah, suami isteri, ibu bapa dan anak-anak serta sesama kawan, berbincang adalah langkah penyelesaian yang sangat hebat. Kalau belum bincang, usahakan perbincangan. Tapi kalau tidak berhasil, izinkan ustaz untuk quote balik kisah Kungfu Panda yang kita analisa semalam” saya menyambung diskusi.
Beliau tersenyum.
Di dalam KEM HIJRI kali ini saya mengajak peserta menonton filem animasi Kungfu Panda daripada perspektif baru. Hampir kesemua peserta sudah menontonnya tetapi apabila diberikan ‘cara memandang’ yang baru, mereka seakan-akan baru pertama kali menontonnya.

“Po bercita-cita mahu menjadi juara Kungfu. Manakala Mr. Ping si ayahnya, mahukan Po menjadi pewaris kepada perniagaan mee istimewanya itu. Mr. Ping sentiasa teruja mahu mewariskan perniagaannya kepada Po sehingga dia hampir-hampir tidak pernah perasan akan impian Po yang amat berbeza. Menderita bukan?” saya memulakan kisah.
“Sama macam situasi saya,” kata peserta berkenaan.
Beberapa orang rakannya yang baru selesai minum teh, datang menumpang dengar.
“Tetapi Po tidak sedar, segala penderitaan emosi dan fizikal yang dialaminya akibat tekanan impian Mr. Ping sebenarnya adalah latihan dan pengalaman yang melatih beliau menjadi hebat. Sesuatu yang tidak ada di dalam silibus pengajian The Jade Castle yang ditempuh oleh Furious Five dan Tai Lung!” saya menambah.
“Maksud ustaz?” beliau sedikit kebingungan.
“Pertama sekali, kemahiran mengangkat lima mangkuk mee di sebelah tangan, bukan benda mudah. Kemudian, Furious Five tidak menjadi The Dragon Warrior kerana mereka hanyalah pelajar yang cemerlang menghabiskan silibus. Tiada kelebihan. Tai Lung pula walaupun menjadi seorang yang sangat hebat, gagal menjadi The Dragon Warrior malah gagal mengalahkan Po sebab dia tiada pengalaman sehebat Po. Apa pengalaman hebat yang Po ada?” saya menduga adik-adik yang terlopong di meja.
“Tak pastilah ustaz!” kata salah seorang peserta yang menongkat dagu semenjak tadi.
“Tai Lung sentiasa dapat apa yang dia mahu. Dia tidak mampu menerima jawapan TIDAK dalam hidupnya. Itu menjadikan dia tamak dan gopoh. Berbeza dengan Po yang lama belajar bertolak ansur dengan kehendak Mr. Ping. Dia akhirnya menjadi seorang yang lebih cekal, tabah, dan yang paling penting, TENANG!” saya menyambung.
“Dan lucu!” usik seorang adik yang kelihatan teruja dengan perkongsian kami.
“Betul. Maksud ustaz, kalau kamu nak jadi doktor, dan perjalanan kamu menjadi doktor itu lancar tanpa cabaran, kamu hanya akan jadi doktor biasa. Kalau kamu nak jadi ahli perniagaan dan perjalanan kamu untuk mencapai cita-cita itu smooth tanpa halangan, kamu hanya akan menjadi ahli perniagaan yang biasa-biasa sahaja. Tetapi kesabaran kamu menempuh dunia yang realitinya seperti ini, akan menjadikan kamu seorang yang lebih sabar dan bersyukur satu hari nanti” saya meneruskan celoteh.
“Realiti macam mana tu, ustaz?” tanya pelajar tadi.
“Dalam realiti kehidupan, kita tidak sentiasa dapat apa yang kita suka. Jadi kita kena belajar untuk suka apa yang kita dapat! Itulah kehidupan namanya,” saya menjawab.
Mereka termenung. Sepi seketika. Peserta lain sudah mula masuk semula ke dewan mengambil tempat.
“Kalau ditakdirkan kamu tetap mengambil bidang perubatan, tidak semestinya kamu tidak boleh berniaga. Kamu boleh membuka klinik selepas beberapa tahun menjadi doktor, kamu boleh menjual peralatan perubatan, kamu boleh membuka pusat Hemodialisis, dan macam-macam lagi. Malah boleh juga menjual tshirt labuh Muslimah secara online!” saya memberikan cadangan berupa win-win situation kepada beliau yang berkonflik dengan ibu bapanya.
Beliau tersenyum.
Ada rasa lega terpancar pada wajahnya.
“Dan apabila Po menjadi The Dragon Warrior serta berjaya menyelamatkan seluruh China dengan mengalahkan Tai Lung, Mr. Ping memeluknya dengan bangga dan heboh bercerita kepada orang lain bahawa si Panda Gemuk itu adalah anaknya. Penuh bangga. Maknanya, semasa Mr. Ping mahu anaknya menjadi penjual mee yang hebat, beliau sebenarnya mahu anaknya menjadi orang berjaya. Cuma ia diungkapkan sebagai penjual mee. Tetapi apabila Po berjaya menjadi juara Kungfu yang terhebat, ia tetap memenuhi impian si ayah kerana setiap ayah menginginkan anaknya menjadi manusia hebat. Bukan doktor, bukan ahli perniagaan, tetapi menjadi manusia yang hebat. Betul tak?” saya mahu menghabiskan segera perbualan.
“Betul, betul, betul!” kata seorang lagi, meniru lagak Upin dan Ipin.
“Formulanya ialah?” saya mendarat ke sebuah kesimpulan.
There is no secret ingredient, you just have to BELIEVE!” jawab mereka beramai-ramai.
Kesemua mereka beredar mengambil tempat semula untuk slot yang berikut. Saya yang kekeringan tekak terus menyambung ‘ceramah’.
Demikianlah rutin seorang jurulatih.
Dia mesti bangun sebelum peserta lain bangun, dan bercakap serta berbual dan berkomunikasi tanpa henti, kemudian tidur selepas peserta lain tidur.
Rahsianya?
There is no secret ingredient, you just have to BELIEVE!
ABU SAIF @ www.saifulislam.com
68000 AMPANG